Saturday, October 3, 2009

Artikel 2: Songkok 3 Generasi

Songkok tiga generasi

Selepas tiga dekad menjahit dan menjual songkok, Mustafa Maarof amat mengerti pentingnya seni songkok.




SEJAK usia 12 tahun, Mustafa Maarof mula menunjukkan minat menjahit bahagian tepi songkok. Saban hari selepas habis waktu sekolah Mustafa akan membantu bapanya menyiapkan songkok yang ditempah pelanggan.

Mustafa mengambil alih perniagaan tersebut selepas bapanya, Maarof Mohd. Syarif meninggal dunia. Ketika itu Mustafa baru berumur 28 tahun.

Hari ini Mustafa, 40, mampu membuat sebuah songkok dalam masa tidak sampai sejam. Sebanyak 20 buah songkok dapat disudahkannya dalam sehari.

Selepas hampir tiga dekad terlibat dalam perniagaan itu, Mustafa cukup mahir mengenai selok belok songkok.

"Saya akan pastikan bahagian bumbung dan dinding songkok dijahit, bukan digam. Ini bagi memastikan kedua-dua bahagian tersebut tahan lebih lama.

"Setiap kali menerima tempahan ini bermakna saya diberi kepercayaan oleh pelanggan.

"Selain menyiapkan kerja dalam tempoh yang diberikan, saya juga perlu menggunakan material yang berkualiti," ujar Mustafa ketika ditemui di kedainya di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Penutup kepala tradisional Melayu yang lebih dikenali sebagai songkok lazimnya dipakai bersama baju Melayu.

Ia direka daripada kain kosong berwarna hitam atau bersulam yang diperbuat daripada kain kapas atau baldu.


MENURUT Mustafa Maarof, songkok dapat bertahan antara tiga hingga lima tahun sekiranya dijaga baik.


Pemakaian songkok merupakan salah satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dulu lagi.

Kebiasaannya, ia dipakai pada majlis-majlis tertentu seperti hari raya, perkahwinan, kenduri, acara pengebumian, solat dan pertabalan.

Mustafa, bapa kepada seorang anak, memberitahu, koleksi songkok yang terdapat di kedainya menggunakan fabrik baldu jenis 3 Crown yang diimport dari Korea dan Jerman.

Fabrik itu bukan sahaja lembut dan tahan lama, malah kalis air.

Mustafa yang dibantu oleh abangnya, Maharyoyo Maarof, 53, menjelaskan, setiap tahun jualan songkok di kedainya meningkat, lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

"Songkok tidak hanya untuk musim perayaan, sebaliknya saya juga mendapat tempahan untuk majlis-majlis korporat dan untuk pelajar sekolah," jelasnya.

Menurut beliau, pendapatannya pada musim hari raya boleh mencecah RM30,000.

Kedai songkok yang dikenali sebagai M. Djohan Tailor itu diasaskan oleh datuknya, Mohd. Syarif sejak tahun 1935.


SELAIN songkok biasa, orang Melayu turut meminati songkok yang lilitan bercorak kain songket atau batik.


Datuknya berasal dari Paya Kumbung, Minangkabau, Sumatera, Indonesia sebelum berhijrah ke Grik, Perak, dan selepas itu berpindah ke Kuala Lumpur.

Menurut Mustafa, pada peringkat awal menjahit songkok, dia mengakui kerja itu agak sukar kerana ia memerlukan ketelitian.

"Sikap sambil lewa atau cuai ketika menjahit songkok boleh merosakkan rupa bentuk songkok, sekali gus mencacatkan penampilan si pemakai.

"Songkok akan jadi senget dan bahagian dinding serta bumbungnya mudah tertanggal. Malah pelanggan juga tidak akan rasa selesa memakai songkok tersebut," ujarnya.

Tambah Mustafa, jangka hayat sebuah songkok boleh bertahan antara tiga hingga lima tahun jika ia dijaga dengan baik.

Kata Mustafa, proses membuat songkok yang paling sukar ialah untuk mencantumkan bahagian bumbung dan dinding songkok.

Kedua-dua bahagian tersebut dilapisi dengan kertas akhbar lama yang banyak. Di bahagian dinding saja dilapisi dengan 12 helai kertas akbar bersaiz besar, manakala sebanyak 10 helai kertas saiz kompak digunakan untuk bumbungnya.


PROSES mencantumkan bahagian bumbung dan dinding songkok merupakan proses paling rumit.



MUSTAFA MAAROF


Sebelum dijahit dengan mesin, bahagian bumbung dan dinding perlu dicantumkan secara manual menggunakan jarum peniti khas.

Kadangkala proses manual itu boleh menyebabkan luka-luka kecil di jari akibat tercucuk jarum.

"Mengapa surat khabar? Ia mudah diperoleh dan murah. Namun, kami akan memikirkan kertas yang sesuai dibuat songkok sekiranya akhbar Utusan Malaysia bertukar ke saiz kompak pula," tambahnya sambil ketawa ketika tangannya laju memotong bumbung songkok berbentuk bujur.

Saiz kepala kanak-kanak ialah antara 17 hingga 20 inci, manakala kepala orang dewasa ialah 21 hingga 23 inci.

Di M. Djohan Tailor, pelanggan berpeluang memilih songkok yang dikenali sebagai Tun setinggi empat inci setengah, songkok biasa, kopiah dan tarbus.




Maarof juga menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan aksesori tambahan yang dililit di sekeliling dinding songkok.

Antaranya termasuklah lilitan bercorak, kain songket atau batik atau yang sedondon dengan baju Melayu.

Maarof yang juga bekerja sambilan sebagai pemandu bas dan limosin hotel melahirkan rasa gembira kerana pernah menerima tempahan daripada golongan kenamaan dan selebriti tempatan.

Lebih mengujakan apabila beliau diberi kepercayaan menjahit 60 buah songkok untuk kontinjen Malaysia pada majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik Athens 2004 di Greece.

Simbol penuh kemuliaan


"DAFI (kiri) dan Zoey kerap menggunakan songkok bersama baju Melayu."


SETIAP kali menjelang musim hari raya, pengacara Gerak Geri Gasing Astro Ria, Zoey sudah terbiasa memakai songkok. Begitu juga ketika mengaji atau ke surau.

“Saya mula pakai songkok pada usia dua tahun. Setakat ini saya mempunyai empat biji songkok.

“Saya tidak beli songkok setiap tahun kerana kebanyakan songkok saya tahan lama kerana ia dijaga dengan baik,” kata Zoey atau nama sebenarnya, Mohd. Hairey Azhar Abdul Rahman, 24.

Jika diberi pilihan antara songkok dan kopiah, dia lebih menggemari songkok kerana penampilannya nampak lebih segak dan sesuai dengan bentuk mukanya.

“Sekalipun terdapat pelbagai pilihan songkok bercorak di pasaran, saya tetap memilih songkok tanpa corak kerana ia nampak ringkas,” ujarnya yang akan menyimpan songkok yang sudah dipakai di dalam kotak.

Penyanyi Dafi pula memakai songkok jika dia berbaju Melayu. Dia menggemari songkok tanpa corak dan tinggi bagi mengelakkan gaya rambutnya rosak.

Tidak membeli songkok setiap tahun, Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 19, akan menjaga songkoknya dengan baik.

“Saya akan pastikan songkok yang dibeli berkualiti dan dijaga baik supaya tahan lama,” katanya yang memakai songkok bersaiz 22 inci. Bagaimanapun, untuk sesi fotografi atau membuat persembahan, lazimnya Dafi akan memakai songkok yang bercorak.

“Sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan pemakaian songkok ketika bersolat, mengaji al-Quran dan digayakan bersama baju Melayu.

“Malah, imej bersongkok bukan sesuatu yang pelik, selain dipakai pada majlis formal dan musim perayaan, ia turut dipakai oleh para pelajar sekolah dan petugas hotel,” kata penceramah bebas, Akhil Abdul Hayy, 40, ketika dihubungi.

Beliau yang pernah popular sebagai penyanyi rock untuk kumpulan D’Riyadh sekitar tahun 1980-an berpendapat, lelaki Melayu tampak segak dengan bersongkok.

Bagaimanapun, beliau lebih menggemari topi salji bagi memudahkannya mendekati masyarakat. Anak kelahiran Gopeng, Perak ini juga mempunyai lebih 20 pasang topi salji.

“Remaja pada hari ini meminati sesebuah ceramah yang disampaikan dengan gaya santai dan tidak terlalu berat. Sebagai jalan tengah saya menyarungkan topi salji pelbagai rona berbanding songkok agar ceramah saya nampak ringan,” katanya.

Sementera itu, pendakwah bebas dan pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali menasihati supaya si pemakai songkok menghormati songkok dari segi pemakaian, cara kita menjaga dan menyimpannya.

Kedudukan songkok yang dipakai di atas kepala membawa makna yang tersirat.

“Ia mendidik supaya kita bersikap merendahkan diri. Ini kerana walau setinggi mana pun darjat dan kedudukan kita, masih terdapat perkara lain yang lebih tinggi dan berkuasa daripada kita,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan songkok sering dikaitkan dengan tempat dan imej seperti masjid atau majlis-majlis rasmi. Sehubungan itu, jika ia dipakai pada majlis yang bukan tempatnya, maka masyarakat akan memandang sinis terhadap orang yang berbuat demikian.

2 comments:

  1. salam...
    kat mana ye alamat tailor kat atas? atau tuan tahu tempat lain yang ada jual fez di kl?

    ReplyDelete
  2. ingin mndapatkan portal pengiklanan sendiri?sangat mahal di facebook?
    kini malaysia telah mempunyai laman web sosial pertama..anda mampu mendapatkan portal pengiklanan anda sndiri dengan hanya RM420 sekali seumur hidup..brmnat sila hbungi saya di 0129670757 / 0133538254

    ReplyDelete